Sunday, August 28, 2011

Amalan Baik Menyambut Hari Raya Aidilfitri






Setiap individu Muslim dan Muslimah wajib menilai segala aktiviti yang telah berjalan selama ini, yang sesetengahnya telah menjadi 'budaya' termasuk bentuk acara menyambut Aidil Fitri. Ciri-ciri yang diambil dari budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah Islam hendaklah ditinggalkan.

Jangan jadikan sambutan Hari Raya sebagai alasan untuk kita membazir dengan membeli pelbagai barang keperluan Hari Raya seperti perabut atau perhiasan rumah demi untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk. Kita boleh menyediakan makanan, juadah dan kuih-muih untuk Hari Raya tetapi hendaklah dalam bentuk sederhana dan mestilah sesuai dengan ekonomi keluarga.

Jangan jadikan alasan berhari raya untuk kita mudah menghulurkan tangan bersalaman dengan semua orang ketika ziarah menziarahi. Ingatlah bahawa hukumnya haram bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim walaupun orang yang kita bersalaman itu dianggap seperti saudara kandung sendiri. 

Ada yang sanggup bersusah payah untuk pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya sedangkan solat yang fardhu langsung tidak ditunaikan. Mana satukah yang wajib dilakukan?

Memang tidak dinafikan bahawa dalam bulan Syawal nanti pasti akan ada banyak Rumah Terbuka. Makanlah sekadar yang mampu dan janganlah sehingga sampai membawa mudharat kepada diri sendiri akibat terlebih makan.

Amalan bermaaf-maafan bukanlah hanya esklusif kepada Hari Raya sahaja. Ia seharusnya diperluaskan kepada setiap masa kerana bermaaf-maafan ini adalah satu amlan yang amat dituntut agama. Amalan meminta maaf juga perlulah dilakukan dengan segera apabila kita terasa telah melakukan kesilapan serta kesalahan pada orang lain.

Selalunya semasa Hari Rayalah pelbagai rancangan hiburan akan ditayangkan di kaca TV dan ramai yang 'melekat' di rumah tanpa pergi ziarah-menziarahi sanak saudara dan sahabat handai. Amalan ziarah- menziarahi orang tua, sandara-mara, kaum kerabat, orang-orang yang berjasa kepada kita seperti para guru dan sabahat handai ini sebenarnya tidak terbatas sempena Hari Raya sahaja, tetapi perlu dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa, sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w.yang bermaksud : " Ziarahilah saudara mara kamu dari masa ke masa kerana ia boleh menambahkan kasih sayang."  Lebih-lebih lagi menziarahi ibu bapa kita, hendaklah dilakukan lebih kerap dan janganlah menunggu Hari Raya sahaja.

Janganlah pula kita asyik berhari raya sepanjang bulan Syawal sehinggakan kita terlupa untuk menunaikan ibadah sunat berpuasa 6 hari di dalam bulan Syawal  kerana besar fadhilatnya sepertimana hadis dari Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan , kemudian diikuti dengan 6 hari daripada Syawal, adalah seperti berpuasa setahun.”(Hadis riwayat Muslim).

Diharap sambutan Hari Raya Aidil Fitri kita itu tidak melampaui batas dan janganlah pula kerana alasan nak menyambut Hari Raya , kita mengenepikan soal hukum hakam. Janganlah dijadikan Syawal itu merosakkan segala pahala yang telah dikumpul sepanjang bulan Ramadhan.  

4 comments:

nelly said...

Nelly The Strange nak ucap Selamat Hari Raya !!
:)

De'din said...

selamat hari raya :D

Zul Fattah said...

salam... slamat hari raya..

http://zulfattah.blogspot.com/2011/08/selamat-akhir-ramadhan.html

asy faro said...
This comment has been removed by the author.