Thursday, November 24, 2011

Keistimewaan Serangga Belalang



BELALANG ialah sejenis serangga yang mempunyai kaki belakang panjang yang kuat untuk melompat. Seekor belalang boleh melompat sejauh 40 kali ganda panjang badannya. Belalang mempunyai sesungut yang pendek dan memakan tumbuhan.

Belalang bersayap dan dari keluarga Locustidae atau Acrididae dan Tettigoniidae. Terdapat beberapa jenis spesies belalang yang dikenali di alam Melayu.

Ada belalang yang digelar belalang ranting (Phasmidae) dan belalang daun (Phyllidae) kerana sifatnya yang menyerupai daun dan ranting.

Apabila belalang itu hinggap di atas ranting atau daun, tubuhnya berupaya menyesuaikan warna dan bentuk dengan keadaan di mana ia berada.

Orang Melayu memberi banyak gelaran kepada belalang.

Lain daerah, lain panggilannya seperti cengkadak, mengkadak, cencadu, sentadu, centadu, kacung, cengkadu, cengkaduk, ketenun dan sebagainya.

Cengkadak hanya mempunyai satu telinga dan biasanya tubuh cengkadak berwarna hijau pucat atau warna perang.

Cengkadak mempunyai sepasang kaki untuk berjalan dan sepasang tangan untuk menangkap mangsanya iaitu serangga hidup dan juga serangga jenis belalang.

Cengkadak betina akan memakan pasangannya selepas bersenggama.

Di kampung-kampung dahulu, kanak-kanak gemar bermain dengan belalang kacung.

Cara bermain, pegang bahagian belalang kacung dan dihadapkan ke muka kita. Ia boleh membuat pelbagai gerak yang boleh menghiburkan kanak-kanak yang bermain dengannya.

Di kawasan yang banyak ladang dan sawah, belalang dianggap sebagai serangga perosak kerana belalang memakan daun-daun.

Sebab itulah di kebanyakan kawasan di Indonesia dan Malaysia, masih diamalkan ritual untuk mengelakkan musibah semasa musim padi berbuah.

Di Indonesia, terdapat upacara menghalau musibah dengan menghantar sajen ke laut. Anggapannya, musibah itu dibawa angin laut ke ladang atau sawah bendang mereka justeru harus dihantar pulang semula ke laut.

Cengkerik juga termasuk dalam keluarga belalang.

Cengkerik mempunyai sesungut yang panjang serta kaki belakang panjang untuk melompat.

Cengkerik jantan mengeluarkan bunyi yang kuat dengan cara menggosokkan kepak.

Terdapat satu salur sepanjang bawah kepak cengkerik yang berbentuk seperti sikat.

Bunyi cengkerik terhasil apabila bahagian atas kepak digerakkan sepanjang sikat di bawah kepak sebelah.

Apabila cengkerik menghasilkan bunyi, cengkerik turut membuka kepaknya ke atas menyebabkan membran kepak itu bertindak sebagai satu layar akustik seperti petikan tali gitar.

Cengkerik hanya aktif pada waktu malam. Sebab itulah orang Melayu mengatakan jika cengkerik sudah berbunyi, itu memberi tanda waktu bahawa hari sudah nak senja.

Dalam dunia Melayu, cengkerik kurang dihargai.

Namun di sesetengah negara, cengkerik tinggi nilainya dan dijadikan haiwan peliharaan.

Di China, cengkerik dianggap membawa tuah. Ada juga yang menjadikan cengkerik santapan makanan. Sebaliknya, orang Melayu menggunakan cengkerik sebagai umpan mengail ikan keli.

Sekiranya cengkerik tidak dipedulikan, belalang kunyit pula menjadi makanan cemil-cemilan yang menyelerakan.

Di Indonesia dan utara Malaysia, belalang goreng adalah makanan yang dianggap lazat dan mempunyai khasiat.

Belalang dipercayai mampu menguatkan otak sehinggakan anak-anak yang kurang cerdas disuruh kerap memakan belalang.

Belalang juga dikatakan sebagai ubat menguatkan tenaga batin lelaki.

Dalam cerita-cerita rakyat Melayu, Cerita Pak Belalang merupakan cerita jenaka yang popular.

Kenapa nama anak petani yang malas itu adalah Belalang?

Ternyata masyarakat Melayu menyesuaikan nama itu dengan kepercayaan orang Melayu bahawa belalang adalah serangga yang bijak dan mampu membuat manusia bijak jika memakannya.

Cerita tentang belalang....

Terdapat satu cerita tentang seekor belalang yang telah sekian lama terkurung dalam sebuah kotak. Suatu hari, belalang berupaya melepaskan dirinya.
Dengan gembira, belalang melompat-lompat menikmati kebebasannya.
Dalam perjalanan, belalang itu bertemu dengan seekor belalang lain.
Belalang itu jadi hairan kenapa belalang yang ditemuinya berupaya melompat lebih tinggi daripadanya. Belalang yang pandai melompat tinggi itu kemudian menjelaskan kepadanya bahawa semua belalang yang hidup di alam bebas berupaya melompat tinggi.
'Di manakah kau tinggal selama ini?' tanya belalang itu kepada belalang yang kehairanan tadi.
Pada ketika itu, barulah belalang yang selama ini tinggal di kotak sedar bahawa kotak itulah yang membuat dia tidak boleh melompat tinggi dan jauh.

Pengajarannya.....

, kita harus keluar daripada kotak pemikiran negatif yang selama ini membelenggu fikiran kita. Ada kalanya pegangan dan kepercayaan lapuk terlalu mengongkong kita sehingga kita menjadi rendah diri dan tidak yakin dengan kemampuan yang kita miliki.

Seterusnya, belenggu kepercayaan negatif ini akan membuatkan kita tidak berani menempuh cabaran dan menyebabkan kita tidak boleh maju.

Peribahasa 'lain ladang lain belalang, lain lubuk lain ikannya' memberi maksud lain negeri lain adat resamnya.

'Belalang dapat menuai' bermaksud mendapat keuntungan yang tidak sengaja ketika melakukan sesuatu pekerjaan.

'Mencari belalang atas akar' bermaksud melakukan pekerjaan yang mustahil mendatangkan hasil.

'Belalang menjadi helang' bermaksud orang yang hina dan bodoh telah menjadi cerdik dan mulia.

'Mata belalang belum pecah sudah hendak membuta' pula sering ditujukan kepada orang yang terlalu awal hendak tidur malam.

1 comment:

hudawiyah abdullah said...
This comment has been removed by the author.