Tuesday, March 13, 2012

Sistem Pemerintahan Beraja di China sebelum campur tangan Barat


Maharaja bertindak sebagai ketua negara dalam pemerintahan China. Hal ini menunjukkan bahawa maharaja memiliki kuasa mutlak. Kuasa mutlak maharaja jelas dalam penggubalan undang-undang kerajaan. Undang-undang yang digubal oleh maharaja adalah untuk menjaga kestabilan negara dan melicinkan pentadbiran kerajaan. Malahan undang-undang yang digubal oleh maharaja bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sistem politik negara. Hal ini diperkuat dengan anggapan bahawa rakyat tidak berhak untuk mempersoalkan segala bentuk undang-undang yang digubal oleh maharaja.

   Dalam bidang kehakiman, maharaja China bertanggungjawab mengadili setiap kes yang dilaporkan, malahan maharaja akan menjatuhkan hukuman ke atas setiap pesalah, terutama yang melibatkan kesalahan yang membawa kepada hukuman mati. Dalam masyarakat China, keadilan seorang maharaja sangat diutamakan kerana mereka
percaya bahawa maharaja merupakan pelindung kepada masyarakat bawahan.

    Negara China yang sangat luas telah mengundang pemberontakan dan peluasan kuasa oleh bangsa lain, terutama Mongol. Oleh yang demikian, maharaja mestilah seorang yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang ketahanan dan pertahanan. Maharaja merupakan seorang ketua dalam ketenteraan. Walaupun maharaja tidak terlibat secara langsung di medan perang, tetapi semua keputusan berkaitan dengan peperangan ditentukan oleh maharaja seperti mengisytiharkan perang dan juga perdamaian. Dalam hal yang lebih penting lagi maharaja yang berkaliber dan disanjung oleh rakyatnya mestilah bertanggungjawab menjaga dan mampu mengekalkan keamanan serta keselamatan rakyat dan negara China.

   Memandangkan maharaja dalam masyarakat China dianggap sebagai anak tuhan atau wakil tuhan, seseorang maharaja akan mengetuai semua upacara keagamaan. Malahan terdapat tempat-tempat suci di dalam istana maharaja yang tidak boleh dimasuki oleh orang lain selain maharaja. Terdapat perayaan keagamaan yang dilaksanakan mestilah mendapat perkenan dan dimulai oleh maharaja.

   Dalam bidang ekonomi, maharaja menguasai segala hal ehwal ekonomi dan kekayaan negara. Malahan semua tanah pertanian merupakan kepunyaan maharaja yang diusahakan oleh rakyat jelata. Kegiatan perdagangan mestilah dijalankan dengan kebenaran maharaja. Hubungan perdagangan dengan negara luar mestilah mendapat restu daripada maharaja. Oleh yang demikian, ibu kota dijadikan pusat kegiatan ekonomi. Maharaja juga berusaha untuk memastikan kemakmuran ekonomi rakyat sentiasa terjamin. Hal ini terbukti apabila maharaja memberi bantuan kepada rakyat yang mengalami masalah bencana alam seperti
banjir atau kemarau. Maharaja akan sentiasa member bantuan berupa makanan dan pakaian kepada mangsa bencana alam. Maharaja juga mempunyai kuasa untuk menentukan segala bentuk dan jumlah cukai yang akan dikenakan kepada rakyatnya. Maharaja telah melantik para pembesar untuk menjalankan semua kegiatan ekonomi, terutama pemungutan cukai, perdagangan dan sebagainya.

  Dalam bidang sosial, maharaja bertanggungjawab penuh terhadap keamanan dan kesejahteraan rakyat. Sekiranya seseorang maharaja gagal memerintah negara, beliau akan digulingkan oleh rakyat. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, seseorang maharaja gagal dalam pemerintahannya apabila berlaku malapetaka dalam negara seperti banjir, kemarau dan sebagainya. Oleh itu, rakyat jelata berhak menggulingkan pemerintahan kerajaan tersebut.

No comments: