Friday, March 16, 2012

Sumbangan Nicolo Machiavelli dan Sun Tzu dalam Bidang Strategi Peperangan

 





    Nicolo Machiavelli merupakan seorang diplomat Itali dan hidup pada abad ke-16. Antara buku yang ditulisnya termasuklah Art of War, The Prince dan Discourses yang mengandungi maklumat tentang ketenteraan di Eropah. Sun Tzu hidup pada abad ke-3 S.M. Beliau pernah menjadi jeneral tentera kerajaan Wu dan pernah mengalahkan beberapa negeri jiran dan dikatakan negeri Wu menjadi terkenal sebahagiannya disebabkan oleh populariti Sun Tzu. Saiz buku The Art of War amat kecil dan hanya mengandungi 6000 perkataan serta terdiri daripada 13 bab.

   Kepada para pemimpin politik atau tentera, Machiavelli mengutarakan bagaimana mendapat kuasa dan seterusnya mengekalkan kekuasaan tersebut. Beliau menegaskan bahawa dalam alam nyata, tidak ada hubungan antara kuasa dan unsure moral. Hal ini membawa erti matlamat untuk mengekalkan kuasa adalah lebih penting sementara cara yang digunakan untuk mencapai matlamat sama ada bermoral atau tidak, tidak perlu dihiraukan. Kata-katanya yang terkenal ialah “matlamat menghalalkan cara”. Baginya pemimpin yang ditakuti adalah lebih baik daripada pemimpin yang disayangi.

    Machiavelli membahagikan tentera kepada tiga kategori iaitu pasukan bayaran (upahan yang dibawa dari luar), pasukan bantuan (gabungan dengan negara jiran) dan pasukan rakyat (tempatan). Menurut Machiavelli, tentera bayaran dan pasukan bantuan jika diamalkan amat merbahaya. Menurutnya lagi, jika kita terlalu bergantung kepada pasukan-pasukan berkenaan, keamanan dalam negara tidak akan berterusan. Alasan yang diberikan ialah pasukan bayaran sisatnya tidak setia, kurang disiplin, dahagakan kekuasaan serta tidak boleh disatukan. Mereka dianggap handal di kalangan teman-teman mereka tetapi pengecut di hadapan musuh. Mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab dan tidak bersungguh-sungguh kerana upah yang tidak mencukupi.Raja Perancis misalnya mampu menundukkan Itali hanya dengan perwira-perwira yang memiliki senjata yang kurang moden kerana Itali mempunyai masalah dengan tentera bayaran.

     Panglima pasukan bayaran mungkin merupakan orang terlatih dan kerana itu mereka tidak boleh dipercayai. Panglima itu bukan sahaja boleh menundukkan musuh malah boleh membelot dan mengalahkan pasukan yang menjadi majikannya. Tentera bantuan pula mengikut Machiavelli merupakan satu pasukan yang baik tetapi selalunya bahaya. Jika mereka kalah dalam peperangan, kita juga akan kalah dan ada kalanya kalau mereka menang dalam peperangan, kita pula akan menjadi tawanan mereka. Machiavelli yakin bahawa kemenangan sejati adalah melalui pasukan rakyat.

    Machiavelli juga mencadangkan bahawa raja hendaklah tidak mempunyai kesibukan lain kecuali mempelajari perang, organisasi dan disiplinnya kerana itulah satu-satunya seni yang diperlukan oleh seseorang raja atau pemimpin. Kemampuan dalam hal ini begitu mulia dan jika raja lebih mementingkan kehidupan mewah daripada angkatan perangnya, maka negara tersebut akan mengalami kehancuran.

   Dalam The Art of War, Machiavelli turut menegaskan prinsip ketenteraan dalam pemerintahan negara. Menurutnya,sesebuah negara perlu mempunyai pasukan tentera berjalan kaki yang setia, sanggup berkorban untuk Negara dan mempunyai disiplin yang tinggi. Beliau juga tidak begitu gemar dengan pembinaan kubu kerana taktik ini sering membawa kepada kegagalan. Anggota tentera juga harus memakai pakaian yang ringan dan lengkap dengan peralatan canggih.

     Bagi Sun Tzu, peperangan adalah urusan negara yang penting untuk menentukan kelangsungan hidup atau kebinasaan sesebuah negara. Justeru soal peperangan itu perlu diselidiki terlebih dahulu. Beberapa pertimbangan perlu diambil kira sebelum melibatkan diri dalam sesuatu peperangan. Pertama, alas an moral. Alasan moral (penjelasan sebab) bagi menentukan rakyat bersetuju dan akur kepimpinan Negara. Hal ini kerana, jika rakyat bersetuju dengan tindakan pemimpin, mereka sanggup mengahadapi apa jua kesukaran bersama pemimpin termasuk menggadai nyawa mereka. Keduanya ialah keadaan iklim termasuk cuaca, musim dan masa yang menguntungkan. Ketiganya ialah kebijaksanaan jeneral dan pengelolaan tentang undang-undang tentera, cara mengendalikan keperluan tentera dan dasar perlantikan pegawai tentera.
    
   Apabila melancarkan serangan, Sun Tzu mencadangkan seseorang jeneral harus berusaha untuk mencapai kemenangan secepat mungkin dan mengelakkan pertempuran yang berpanjangan. Peperangan yang mengambil masa yang singkat dapat menjamin kebajikan rakyat dan keselamatan negara. Jika kemenangan ditangguhkan, semangat dan keazaman anggota tentera akan menjadi lemah dan perbendaharaan negara akan berkurangan.

     Bagi Sun Tzu, berusaha mencapai kemenangan dalam setiap pertempuran bukanlah strategi yang baik, sebaliknya menewaskan musuh tanpa menggunakan kekerasan adalah cara yang terbaik. Cara yang merugikan sekali ialah mengepung kubu pertahanan musuh. Hal ini kerana kepungan tersebut mengambil masa enam bulan, tiga bulan menyediakan senjata dan tiga bulan untuk mendirikan kubu sebelum tembok itu dipanjat.

    Dalam melancarkan sesuatu serangan, terdapat beberapa cara yang harus digunakan. Jika kekuatan kita 10 kali ganda daripada pihak lawan, kepunglah mereka. Jika kekuatan kita lima kali ganda, seranglah mereka. Jika kekuatan kita dua kali ganda, pisahkan mereka. Jika kekuatan kita setara, bertempurlah dengan mereka. Jika kekuatan kita tidak setara dengan pihak lawan, hindarlah peperangan.

    Seseorang jeneral yang bijak, dapat menyerang dengan pantas dalam masa yang tepat seperti helang dapat menyambar mangsanya kerana menggunakan masa dengan tepat. Selain itu kesempatan yang ada perlu digunakan dengan sebaiknya. Sesuatu pasukan yang tiba lebih awal di medan peperangan akan mempunyai masa rehat yang lebih dan sempat menanti musuh. Manakala pasukan yang lewat tiba akan tergesa-gesa melancarkan tindakan kerana mereka masih penat. Seseorang yang pakar dalam peperangan akan memaksa musuhnya melalui suatu perjalanan yang jauh lagi mernahaya, sementara itu dia menunggu musuh dalam keadaan selesa. Ketika musuh rehat, dia hendaklah meletihkannya. Apabila musuh mempunyai banyak makanan, dia harus berikhtiar untuk melaparkan mereka. Apabila mush hendak berhenti rehat di sesuatu tempat, dia hendaklah memaksa mereka berjalan.

     Jika hendak menggunakan taktik pembakaran iaitu membakar manusia, gudang, barang-barang, senjata dan sebagainya seseorang jeneral harus dibantu oleh orang awam dan keadaan cuaca. Musim yang sesuai untuk melakukan pembakaran ialah musim kering dan waktu yang sesuai ialah semasa angina bertiup kencang. Seseorang raja dan jeneral yang selalu mencapai kemenangan disebabkan bantuan pengintip.


     Terdapat lima jenis pengintip iaitu pengintip tempatan, pengintip dalaman, pengintip dua pihak, pengintip maut dan pengintip utusan. Pengintip tempatan terdiri daripada penduduk negeri musuh, manakala pengintip dalaman terdiri daripada pegawai-pegawai musuh yang tidak berpuas hati dengan negerinya sendiri. Pengintip dua pihak merupakan pengintip musuh yang pernah diutuskan untuk tujuan pengintipan. Pengintip maut ialah pengintip musuh yang diberikan maklumat palsu melalui seseorang yang tidak tahu namanya. Pengintip utusan ialah pengintip yang menyamar sebagai utusan bertujuan mengumpul maklumat rahsia dan kembali membuat laporan.

    Peranan pemikir ketenteraan turut memasyhurkan sesebuah tamadun. Tamadun Eropah dan China boleh berbangga kerana melahirkan tokoh-tokoh genius dalam bidang ketenteraan seperti Machiavelli dan Sun Tzu. Kesungguhan mereka menghuraikan secara teori dan praktikal amat berguna untuk diamalkan dalam bidang ketenteraan sehingga kini.

1 comment:

Nur Kiasatina ^_^ said...

Hi .. Awesome blog and nice entry ! . Done follow u !! I'll always support your blog ! :DD Chills :*

http://secret-domokun.blogspot.com/