Tuesday, March 13, 2012

Usaha British Membanteras Ancaman Komunis dari Tahun 1948 hingga 1960.


Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap pemerintahan di Tanah Melayu pada tahun 1948. Tujuan utama PKM melancarkan pemberontakan adalah untuk menggulingkan kerajaan dan seterusnya menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. PKM telah didesak oleh Komunis Antarabangsa yang telah bersidang di Calcutta, India. Dalam usaha tersebut, PKM telah melakukan kekejaman, iaitu pembunuhan para pegawai British, terutama pembunuhan tiga orang peladang British di Sungai Siput pada tahun 1948. British berusaha untuk membendung kegiatan komunis dengan mengisytiharkan darurat pada tahun 1948. Sepanjang tempoh 12 tahun Tanah Melayu diisytiharkan darurat, pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk membendung kegiatan komunis.

  Antara langkah awal yang dilaksanakan adalah memperkenalkan undang-undang darurat. Dalam pada itu, kerajaan telah mengharamkan Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu. Melalui undang-undang darurat, kerajaan berkuasa untuk menangkap sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam kegiatan komunis. Kerajaan akan menangkap mereka tanpa dibicarakan. Selain itu, orang ramai tidak dibenarkan untuk berkumpul lebih daripada lima orang. Pelaksanaan undang-undang darurat telah menyebabkan banyak yang tidak bersalah ditangkap. Malahan telah menyebabkan pergerakan orang ramai terbatas kerana mereka bimbang ditangkap kerajaan.

  Di samping itu, kerajaan telah menambah jumlah tentera untuk memerangi anggota komunis di Tanah Melayu. Semasa darurat, kira-kira 40 000 orang tentera termasuk beberapa Rejimen Askar Melayu telah dikerah untuk menghapuskan komunis. Selain itu, tentera turut mendapat bantuan daripada pasukan polis yang berjumlah 70 000 orang dan Home Guard yang dianggarkan berjumlah 25 000 orang yang mengawal di peringkat kampung. Pasukan Special Constables (SC) yang berjumlah 29 897 orang dikerah untuk menjaga kawasan ladang pertanian. Melalui pertubuhan Komanwel, Tanah Melayu mendapat bantuan ketenteraan asing untuk memerangi komunis, antaranya dari New Zealand, Australia dan India. Walau bagaimanapun, tindakan ketenteraan kurang berjaya kerana anggota komunis berada di dalam hutan. Kerajaan telah menggunakan teknik perang gerila terhadap komunis.
 
   Seterusnya kerajaan telah melancarkan Rancangan Briggs yang telah diasaskan oleh Sir Henry Gurney pada tahun 1950. Pengarah operasi yang bertanggungjawab dalam melaksanakan rancangan ini ialah Leftenan Sir Harold Briggs. Tujuan pelaksanaan rancangan tersebut adalah untuk melumpuhkan kegiatan sokongan komunis, iaitu Min Yuen. Tindakan yang dijalankan adalah memindahkan penduduk Cina dari kawasan pinggir hutan ke kawasan petempatan baru atau kampung baru. Hal ini bertujuan untuk menyelamatkan mereka daripada diugut dan digunakan oleh gerakan Min Yuen bagi mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya. Petempatan semula yang dibina oleh kerajaan dikawal ketat dan dipagari kawat berduri untuk menjaga keselamatan mereka. Rancangan tersebut telah berjaya memindahkan kira-kira 570 500 orang ke kawasan lebih 400 buah kampung baru menjelang tahun 1952.


    Pada tahun 1952, Sir Gerald Templer telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Antara usaha yang dilakukan oleh beliau adalah mewujudkan kawasan hitam dan kawasan putih. Rancangan tersebut digunakan untuk memberi kesedaran kepada penduduk Tanah Melayu supaya tidak member bantuan kepada pihak komunis. Selain itu, usaha ini juga bertujuan untuk menghalang rakyat daripada terpengaruh dengan ideologi komunis. Kawasan-kawasan yang terdapat anasir komunis diisytiharkan sebagai kawasan hitam. Pihak tentera dan polis mengadakan sekatan dan kawalan yang rapi di kawasan tersebut. Usaha untuk membersihkan kawasan hitam daripada pengaruh komunis dilakukan dari Johor hingga ke utara Tanah Melayu. Kawasan yang berjaya dibersihkan daripada anasir komunis pula dikenali sebagai kawasan putih. Kawasan tersebut telah dimajukan oleh kerajaan dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti jalan pengangkutan, pusat kesihatan dan sebagainya. Hal ini telah menyebabkan rakyat bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memerangi komunis.

  Seterusnya pihak British cuba mengeratkan hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Penubuhan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum merupakan usaha ke arah itu. Tujuan penubuhan jawatankuasa tersebut adalah untuk mengurangkan sokongan orang Cina terhadap gerakan Parti Komunis Malaya. Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh wakil-wakil daripada semua kaum utama di Tanah Melayu, contohnya Dato’ Onn bin Jaafar mewakili orang Melayu, E.E.C. Thuraisinggam mewakili kaum India dan Tan Cheng Lock mewakili kaum Cina. Dengan wujudnya kerjasama tersebut, semangat kebangsaan telah dapat ditanam dalam kalangan kaum Cina dan India. Tambahan pula, pihak kerajaan telah melonggarkan pemberian taraf kerakyatan.

  Kerajaan turut melancarkan perang saraf untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Tanah Melayu. Pelbagai cara telah dilakukan untuk menghebahkan keburukan perjuangan komunis. Kerajaan telah mengadakan ceramah di seluruh pelosok Tanah Melayu, terutama di kawasan luar bandar. Selain itu, kerajaan mengedarkan poster-poster tentang usaha kerajaan memerangi komunis. Malahan kerajaan turut menjadikan pihak komunis sebagai sasaran perang saraf untuk menyedarkan kumpulan tersebut. Risalah-risalah tentang pengampunan kepada anggota komunis yang menyerah diri telah digugurkan di kawasan hutan. Pihak kerajaan juga menawarkan hadiah yang lumayan kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya anggota komunis, contohnya Chin Peng bernilai $250 000 dan anggota yang lain bernilai $20 000.

    British juga telah menggalakkan penubuhan parti-parti politik sama ada daripada kalangan orang Melayu, Cina mahupun India. Kesempatan ini telah digunakan oleh orang Cina untuk menubuhkan parti politik, iaitu MCA. MCA bertujuan untuk membela hak dan kepentingan kaum Cina, manakala kaum India telah menubuhkan MIC yang turut berusaha untuk memperbaik taraf hidup kaum tersebut di Tanah Melayu. Parti-parti politik pelbagai kaum di Tanah Melayu telah bersatu untuk mewujudkan perpaduan.Contohnya, Parti Perikatan antara UMNO-MCA telah bergabung pada tahun 1952. Hasil usaha tersebut telah menyebabkan mereka berjaya memenangi pilihanraya Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Dengan wujudnya parti-parti politik mengikut kaum, parti-parti yang berfahaman sosialis dan radikal telah diharamkan oleh British.

   Kesimpulannya, darurat yang berlaku di Tanah Melayu selama 12 tahun ialah suatu usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menghapuskan gerakan komunis. Langkah yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya. Dengan menggunakan kekuatan tentera, pihak komunis yang berada di dalam hutan berjaya ditumpaskan. Selain itu, undang-undang darurat telah mengehadkan pergerakan penduduk Tanah Melayu sekali gus membatasi usaha PKM mempengaruhi masyarakat. Segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya menghapuskan anasir komunis. Walau bagaimanapun, dalam tempoh darurat penduduk Tanah Melayu mengalami pelbagai penderitaan seperti tidak bebas bergerak dan masalah ekonomi yang terjejas.

No comments: