Wednesday, April 11, 2012

Sejarah Istana Negara Jalan Istana


Istana Negara, Jalan Istana dahulunya adalah tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sebelum Istana Negara, Jalan Duta yang kini siap dibina menjadi tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
 
Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad merupakan pemerintah yang pertama bersemayam di Istana Negara, Jalan Istana ini iaitu bangunan putih yang mempunyai dua kubah emas beberapa minggu sebelum kemerdekaan diisytiharkan. Manakala Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menjadi pemerintah terakhir yang bersemayam di Istana Negara, Jalan Istana ini.


Istana ini terletak di Jalan Istana bertentangan dengan Jalan Syed Putra, suatu kawasan seluas 28 ekar atau 11.34 hektar di tepi bukit Petaling di Kuala Lumpur ini pada asalnya adalah merupakan sebuah banglo yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan dahulunya adalah rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai ianya dijadikan sebagai Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor sehingga tahun 1957. Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 dan mengubahsuai pada harga RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai untuk dijadikan kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.
 
Istana Negara, Jalan Istana kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi struktur utama bangunan. Pengubahsuaian itu menambahkan bilangan bilik daripada 13 kepada 20, dengan dapur bagi 100 orang, Balai Menghadap, empat Bilik Tetamu, dua Balai Kemasukan dan satu Dewan Santapan.  
 
Pada 1980, Istana Negara, Jalan Istana telah mengalami pengubahsuaian yang besar bagi tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dengan penambahan Balairong Seri Utama iaitu tempat Singgahsana diletakkan. Ini adalah kali pertama Singgahsana diletakkan di Istana Negara, Jalan Istana yang sebelumnya pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Singgahsana baru ini telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya Kapt David Wee yang berasaskan alat kebesaran diraja. Ia digunakan pertama kalinya ketika pertabalan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musa’in Billah Sultan Abu Bakar Ri’atuddin Al-Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 1980. Selain Istiadat Pertabalan, Balairong Seri juga digunakan bagi Santapan Rasmi, Istiadat Keputeraan, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah dan Bintang-Bintang Kebesaran serta Majlis-majlis Keagamaan.

Istana Negara, Jalan Istana turut mempunyai Singgahsana Kecil di aras satu untuk baginda menerima dan menyerahkan surat perlantikan kepada Duta dan Pesuruhjaya Tinggi serta mengadakan Istiadat yang berskala kecil. Manakala Bilik Duta di aras bawah adalah tempat menghadap Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan. Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri juga turut mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pada hari Rabu di bilik ini.

Istana Negara, Jalan Istana turut mempunyai Dewan Kecil bagi Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan sementara Bilik Permaisuri adalah tempat keluarga diraja bertemu dengan pasangan diraja atau bagi upacara tidak rasmi. Bersebelahan dengan Balairong Seri ialah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu tempat bagi Majlis Raja-Raja bersidang setiap tahun manakala Bilik Menteri adalah tempat untuk menunggu sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong. Antara kemudahan rekreasi yang disediakan di Istana Negara, Jalan Istana ini adalah termasuk taman, gelanggang tenis, gimnasium dan kolam renang.

Pada 15 November 2011, tepat jam 9.00 pagi, Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah selamat disempurnakan sebagai menandakan Istana Negara, Jalan Istana sebagai tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong semenjak tahun 1957 ini ini telah berpindah secara rasminya ke Istana Negara, Jalan Duta. Istiadat tersebut juga menandakan Pengawal Istana dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja termasuk Pengawal Berkuda yang menjadi tarikan pelancong turut  menamatkan tugasan di Istana Negara, Jalan Istana dan kini menyambung penugasan baru di Istana Negara, Jalan Duta.




copypaste

1 comment:

faizulosman said...

info yg menarik... baru tahu... thanks for the info...

http://mohdfaizulosman.blogspot.com/2012/04/second-day-during-holiday.html